Astaghfirullah...
Sekali lagi Ara merenung apa yang dia nampak di atas cermin keretanya. Matanya dikecilkan untuk lebih fokus. Dia cuba memastikan objek itu dengan jelas. Satu jambangan bunga ros merah berbalut kertas emas, diikat dengan riben organza berwarna kuning cair terletak elok di bahagian wiper keretanya. Entah kenapa, sekali imbas bunga itu kelihatan seperti simbahan darah merah pekat pada cermin keretanya. Sebab itu dia rasa sangat terkejut. Mungkin juga ianya disebabkan traumanya yang lalu..
"Ahh..sudahlah. Siapa pula yang baik hati meninggalkan jambangan bunga yang cantik ini di atas kereta aku. Kalau pun tak sudi terima, buang sajalah di tempat sepatutnya" getus hati Ara.
Dia menghampiri keretanya dan mencapai jambangan bunga itu, dengan tak semena-mena sekeping kad kecil terjatuh di kakinya. Ara menunduk untuk mengambil kad tersebut, jelas di sampul kad tertulis namanya ARA. Dia membelek- belek bunga ros tersebut sambil menghitungnya, ada 30 kuntum semuanya.
"Pengecut mana ni? Kalau betul pun nak beri bunga, hantar lah ke pejabat. Dapat juga aku berlagak dengan Fika sepanjang hari menerima bunga secantik ini".
Ara membuka pintu kereta, mencampak jambangan bunga ros ke tempat duduk penumpang di sebelahnya dan menghidupkan enjin kereta. Dia sudahpun ada rancangan petang ini. Sejambak bunga takkan membuat hidupnya terganggu. Kad kecil tadi disisip ke dalam tote bag.
Perlahan-lahan Ara meninggalkan bangunan Empire Damansara itu menuju ke Putrajaya. Dengan keadaan trafik ketika ini pastinya dia mengambil masa lebih kurang satu jam dengan melalui Lebuhraya Damansara-Puchong. Sambil memandu, dia membuka playlist kegemarannya di corong radio. Lagu Boom Boom nyanyian Momoland mula berkumandang dan Ara menyanyi kecil mengikut lirik dalam bahasa Korea.
Sesekali Ara menjeling jambangan bunga ros merah disebelahnya. Bau harum ros memenuhi ruang kereta dan menusuk ke deria bau Ara. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskan dengan perlahan seolah menyingkirkan segala perkara yang membelenggu hatinya selama ini. Hatinya terdetik siapa agaknya lelaki yang sudi menghadiahkan dia ros secantik itu. Kenapa ditinggalkan di kereta? Kenapa tak diserahkan sahaja secara bersemuka? Satu demi satu persoalan bermain di minda Ara.
Tersekat dalam trafik, mata Ara melirik lagi ke arah bunga ros merah itu. Dia mencapai sekuntum bunga dengan tangan kirinya dan merapatkan bunga itu ke hidung.
"Wangi" katanya sambil tersenyum sendirian.
Lagu Love Sick oleh FT Island kedengaran dan Ara masih melayan perasaan dan pertanyaan di minda dengan sekuntum bunga di tangan.
45 minit kemudian keretanya membelok masuk ke kawasan Ayer@8. Dia membuat keputusan untuk mengisi perut dahulu, baru lah dapat memilih dan membeli belah dengan bersemangat. Tekak terasa teringin chinese food pula, setelah mendapat tempat meletak kereta kakinya laju melangkah menuju Homst. Sudah terbayang taufu with crab meat dimatanya. Sekuntum bunga ros yang dipegang ketika memandu tadi dibawa bersama.
Sampai di Homst, dia mengambil tempat agak terasing dari pelanggan lain. Dia meletakkan bunga ros di atas meja. Mujur saja belum ramai lagi ketika ini. Pelayan memberikan menu kepada Ara, pantas dia memesan taufu with crab meat, fried kueyteow with beef dan secawan teh chamomile panas. Sementara menunggu pesanannya sampai, Ara teringat akan kad kecil yang diselitkan pada jambangan bunga tadi. Dia menyelongkar tote bag nya dan mengeluarkan kad itu. Perlahan sampulnya dibuka. Jujurnya dia tak sukakan kejutan. She really hates surprises.
Ara hanya merenung kad kecil itu. Hatinya berbelah bahagi untuk mengetahui isi tulisan di dalam kad tersebut. Puas difikirkan dalam perjalanan ke sini tadi, siapa di antara kawan lelaki yang dikenalinya yang berani memberi bunga secantik itu. Dia tidak mempunyai ramai kawan pun, lelaki mahupun perempuan. Perlahan dia membuka kad bercorak 2 ekor burung merpati tersebut.
"Haris? Tak mungkin!" bisiknya perlahan.
"Dia ni dah kenapa? Apa yang dia fikirkan dengan menghadiahkan aku bunga sebanyak itu? Apa maksudnya?" berkerut dahinya keliru antara apa yang dia nampak dengan apa yang terjadi. Tangannya kembali memegang sekuntum bunga ros di atas meja dan direnungnya dalam keadaan tidak percaya.
To be continue..
No comments:
Post a Comment